Matawang syariah Dinar Dirham di Kelantan Haram?



Saya tertarik dengan artikel dari SIASAH, kerena ramai umat islam yang terperdaya dengan status dirham yang diperkenal kerajaan PAS Kelantan.

“Demi kita mencari keredhaan Allah S.W.T dan berjuang membersihkan diri dan ummah dari rejim kewangan yang sedia ada, kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu ‘menjual’ matawang syariah ini untuk matlamat dan agenda peribadi atau politik masing-masing. Perbuatan ini sangat-sangat melampau sekali”


Hakikatnya, ramai umat Islam menyokong dinar emas Kelantan atas dasar mencari keredhaan dan kebersihan dalam sistem kewangan dan ekonomi hari ini. Malangnya ramai yang telah terpedaya.

Menerusi matawang syariah, kita mahu kembali kepada mekanisme ekonomi dan kewangan Islam kerana mahu mengelak dari terjebak ke dalam riba. Contoh suasana penuh riba masakini ialah sistem perbankan, sistem insuran dan sistem matawang. Tidak seperti matawang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di seluruh dunia, mata wang dinar dan dirham sepatutnya bersih dari riba.

Malangnya, apa yang berlaku kepada dinar dan dirham Kelantan ialah ia didakwa mempunyai riba setanding dengan US dollar. Bezanya cuma US Dollar tercatat ‘In God We Trust’ dan pada dinar dirham tercatat ‘Tiada Tuhan Melainkan Allah’.

Exco Kelantan dan penganjur dinar dirham Kelantan, Datuk Husam Musa bersama Umar Ibrahim Vadillo, yang dianggap sebagai `economic terrorist’ oleh pihak tertentu.

Sebelum meninjau bagaiman dinar dirham kelantan berbaur riba, elok dijelaskan kepada umum apa itu riba. Mudahnya, riba adalah tambahan (al-ziyadah). Dari sudut bahasa ia bermaksud kenaikan nilai.
 
Secara falsafahnya ia bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu yang dikenakan oleh pemilik asal atau penjual. Dari sudut matawang pula, riba bermaksud perbezaan nilai yang dibawa oleh satu-satu matawang itu dengan nilai sebenarnya. Matawang moden hari ini dianggap tidak bersih kerana nilainya bukan berdasarkan nilai sebenar tetap i nilai yang dipaksakan ke atas pengguna.

Apakah nilai sebenar pada wang kertas contohnya 1 US Dollar? Ia sama dengan nilai 1 gram kertas ditambah dengan kos percetakan. Lebih banyak ia dicetak, lebih rendah nilainya. Di dalam kata lain, sekeping wang kertas US dollar hanya beberapa sen sahaja, tetapi di pasaran ia mempunyai nilai yang dipaksakan ke atasnya, contohnya 1 US dollar dipaksa menyamai RM 3 atau lebih.
 
Ini adalah riba. Rejim kewangan dunia memaksa kita menukarkan sekeping kertas bernilai beberapa sen dengan barangan yang bernilai berpuluh-puluh kali ganda darinya.
Oleh itu, kerajaan Kelantan menerusi exconya Datuk Husam Musa telah menganjurkan dinar dirham Kelantan untuk ‘mencari keredhaan’.Bahkan difahamkan ada usaha politik untuk memaksa kerajaan negeri membayar gaji kakitangannya dengan dinar dirham supaya ia bersih dari riba dan rejim riba anjuran Barat.

Benarkah dinar dirham Kelantan bersih dari riba? Berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh pihak tertentu, dinar dan dirham Kelantan didakwa mempunyai nilai riba sama seperti US Dollar dan bukan matawang syariah tulin yang bersih dari riba.

Ini berdasarkan pendapat bahawa Kelantan Gold Trade (KGT) menjual dinar dirham kepada rakyat ada harga yang ditetapkan oleh World Islamic Mint (WIM) sama sepertimana harga US Dollar ditetapkan oleh US Federal Reserve.

WIM juga mengaut keuntungan menerusi royalti sebanyak 1% dari kos produksi setiap dinar dirham. Di Malaysia, WIM diasaskan oleh sahabat baik Husam iaitu Umar Ibrahim Vadillo.
Nilai sebenar pada 1 dirham Kelantan ialah bersamaan harga semasa perak seberat 2.97 gram dicampur dengan harga tempahan antara 10 ke 15%.

Bagaimanapun WIM meletakan nilai yang dipaksakan kepada 1 dirham Kelantan pada harga RM25. Ini menunjukkan peningkatan sehingga mencecah 120% dari harga sebenar.
Harga yang dipaksakan kepada 1 dinar Kelantan pula mencecah hampir 25% lebih tinggi daripada nilai sebenarnya.

Jika ini adalah benar, persoalan yang perlu kita tanya ialah apakah bezanya rejim yang dianjurkan oleh KGT dan WIM dengan matawang keluaran US Federal Reserve?
Memandangkan nilai sebenar pada dinar dirham Kelantan tidak sama dengan nilai yang dipaksa ke atasnya, maka pengguna berisiko mengamalkan riba dalam urusan jual belinya.
Pembeli matawang itu pula terpaksa menanggung riba dengan membeli dinar dirham yang harga dijual lebih tinggi dari harga berat emas dan perak itu di pasaran.

Oleh itu apabila mereka cuba menjual balik, ia susut nilai minimum antara 25% ke 120% dari harga pasaran. Ini tidak termasuk harga susut nilai akibat ia dianggap sebagai emas terpakai.
Jika dinar dirham Kelantan dibuka dari sampul plastiknya ia dianggap sebagai emas dan perak terpakai oleh kebanyakkan kedai emas. Tetapi, tanpa membuka sampul plastik, bagaimanakah pembeli mahu memastikan berat sebenar dan ketulenan emas itu? Matawang syariah tidak sepatutnya diletakkan di bawah syarikat komersil seperti KGT dan dikawalselia oleh pihak berkepentingan.
 

Matawang syariah perlu diletakan terus di bawah kawalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menerusi Baitul Mal.


Di zaman penggunaan matawang syariah dalam zaman keagungan Islam ianya tidak pula dikawal selia dan nilainya ditentukan oleh badan seperti WIM yang cuba bertindak memonopoli matawang syariah. Pada zaman keagungan Islam, nilai dan penerimaan matawang syariah yang berlainan pembuatnya ditentukan oleh kuasa pasaran. Pasaran yang menentukan matawang syariah mana yang lebih mereka utamakan penerimaannya.

Tidak berkesan jika nilai matawang syariah tidak seragam dengan nilai sebenarnya. Jika nilai matawang syariah lebih tinggi dari nilai sebenar maka ia sama sahaja dengan sistem matawang hari ini.

Difahamkan pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan dinar dan dirham Kelantan untuk meraih simpati politik serta mempromosikan agenda tertentu untuk keuntungan masing-masing.

Kebanyakkan Ahli Mesyuarat Kerajaan Kelantan tidak bersalah dalam isu ini. Bahkan mereka sendiri dari awal lagi merasa tidak selesa dengan skim yang disarankan. Masalahnya ada pihak tertentu yang sering membelakangkan kerajaan itu. 
Siapakah dibelakang ‘pihak tertentu ini’?
 
Jelasnya, kerajaan negeri Kelantan tidak boleh berdiam diri dengan isu itu. Tindakan perlu segera diambil. Penjualannya perlu digantung sementara aktu dan audit perlu dilakukan terhadap matawang syariah yang dijual oleh KGT.

Kebanyakan rakyat Kelantan tidak sedar risiko yang mereka ambil di dalam  pembelian mata wang syariah itu. Ini hanya diusahakan berlandaskan kepada niat suci mencari keredhaan tanpa mengambil kira beberapa aspek teknikal.

http://www.siasah.com.my

Comments

Popular Posts