ADAKAH KITA BERETIKA & BERADAB BILA BERBEZA PENDAPAT
Bersatulah kita walaupun berselisihan
Sejak kebelakangan ini saya busy dengan karier namun tetap mengamati pendapat bloggers tentang isu semasa.
Saya terasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat semua tentang artikel yang ditulis oleh Dr Fazlan ( kudos!) mengenai penyatuan umat islam pada era moden ini.
Walaupun jelas kepada kita, orang-orang yang beriman, bahawa antara kewajipan utama kita ialah bersatu di bawah misi yang jelas iaitu penghambaan kepada Allah Ta‘ala berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah; tetapi secara fitrahnya juga Allah Ta‘ala telah menjadikan manusia itu berbeza-beza dalam kejadian dan penciptaan. Firman Allah Ta‘ala yang bermaksud:
”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat 49:13)
Memandangkan kenyataan ini, sudah tentulah manusia sentiasa akan mempunyai kepelbagaian dalam setiap urusan mereka samada duniawi mahupun ukhrawi. Pastinya juga perbezaan ini adalah natijah kepada kepelbagaian mereka dalam pendidikan, pemikiran, adat dan alam sekeliling. Aspek-aspek ini telah disentuh oleh Allah Ta‘ala dalam ayat tadi dengan menekankan tujuan kejadian itu iaitu supaya mereka dapat kenal-mengenali antara satu sama lain, dan bukan sekali-kali supaya mereka kecam-mengecam antara sesama manusia.
Dalam satu ayat lain Allah Ta‘ala telah menjelaskan walaupun perbezaan itu berlaku dan berterusan, akan tetapi orang-orang yang Allah rahmati ialah yang tidak berselisihan dan tidak pula berpecah-belah. Firman-Nya yang bermaksud;
“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).” (Hud 11:118-119)
Adab-adab perbezaan pendapat
Setelah mendapat gambaran umum tentang sunnatullah dalam perpaduan dan perbezaan, wajarlah juga kita memerhatikan petunjuk-petunjuk al-Quran dan al-Sunnah untuk menghadapi perbezaan-perbezaan ini. Wajarlah ditekankan di sini bahawa perbincangan ini adalah berkenaan perkara-perkara yang menerima perbezaan pendapat atau dalam erti kata lain masalah-masalah yang berunsur cabang atau zanniyyat dan bukannya yang berunsur dasar atau qat‘iyyat.
Perkara juz’i (cabang) atau zanni (tidak muktamad) ialah perkara yang boleh menerima perbezaan pendapat manakala perkara kulli (dasar) atau qat‘i (muktamad) tidak sekali-kali boleh dipertikaikan. Perbezaan dalam perkara dasar atau muktamad inilah yang menghasilkan kumpulan-kumpulan pecahan (al-firaq) dalam Islam.
Perbezaan dalam perkara cabang atau tidak muktamad pula, pada asalnya tidak sepatutnya menghasilkan perpecahan, namun jika diiringi dengan sikap fanatik, pertengkaran, permusuhan dan hawa nafsu; maka di sini situasi akan bertukar daripada perbezaan pendapat yang dimaafkan dan dibenarkan Syarak kepada perbezaan pendapat yang dikeji Syarak kerana ianya menghasilkan perpecahan.
Dr Fadlan Mohd Othman, Pensyarah Kanan, Jabatan Al-Qur’an dan
Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
http://drfadlanothman.wordpress.com/
Wasalam
Rizalman
Comments
Post a Comment